Saturday, June 20, 2009

Jun Yang Bahagia!


Jun..
Bagi kita Jun hanyalah satu bulan yang mewakili 12 bulan masihi yang menjadi kalendar tahunan kita. Jun mewakili bulan ke-enam. Entahlah ianya secara kebetulan ataupun takdir, aku memang menggemarkan angka 6 dan pada bulan enam ini juga sesuatu yang ku anggap tuah telah dikurniakan Tuhan.

Jun..
Sudah 22 kali aku mengharungi bulan Jun disepanjang hidup ini. Namun Jun di kali ke-23 ini bagi aku amat berlainan sekali. Jun pada kali ini Tuhan telah mengurniakan satu rasa yang amat sukar sekali untuk aku ungkapkan dengan perkataan. Mungkin perkataan yang sesuai adalah Bahagia. Seandainya pada bulan Jun pada tahun ini Tuhan telah mentakdirkan 100,000 juta orang lelaki untuk merasakan bahagia, sesungguhnya akulah salah seorang diantaranya!

Jun..
Pada bulan Jun inilah buat pertama kalinya aku merasakan ada seseorang yang menyayangi aku. Dia mengungkapkan yang Dia akan sentiasa bersama disisi aku. Dia telah membalas harapan yang telah aku letakkan dan Dia telah berada di dalam perancangan hidup aku di masa hadapan!

Jun..
Aku ingin panjatkan syukur kepada Allah atas apa yang telah dikurniakan. Sesungguhnya "Engkau" telah memakbulkan doa hambaMu! InsyaALLAH dengan apa yang telah "Engkau" kurniakan ini tidak akan aku sia-siakan. Inilah kehendak diriku dan aku harap ini jugalah Kehendak dan Ketentuan dariMu ALLAH!

Jun..
Aku berjanji pada diri sendiri, takkan aku persiakan hidupnya. Akan aku mencuba sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik buat dirinya. Akan aku pastikan apabila engkau bersama denganku, engkau akan merasakan bahagia dan disayangi.

Jun..
Terima kasih Buatmu!
Terima Kasih Noraini Bt Ahmad Tahir!

"Perkara yang terbaik yang pernah terjadi dalam hidup saya adalah mengenali awak"

Nik Mohd Syarafan Bin Nik Kamaruzaman

Sunday, May 24, 2009

Kejutan!

Assalamualaikum wbt

Kejutan! Itu adalah satu perkataan yang sering saja menjadikan manusia dalam keadaan yang tidak selesa. Lahirlah banyak perasaan dek kerana perkataan "Kejutan" ini. Antaranya sedih, gembira, marah, kecewa, terharu, tidak percaya dan sebagainya.

Bulan Mei ini aku juga diselebungi kejutan. Antaranya kejutan apabila Kedah sekali lagi tewas di tangan pasukan Selangor. Walaupun kejutan ini adalah sesuatu yang harus aku bersedia, ya lah dalam bolasepak banyak kemungkinan. Namun disebabkan persiapan serta kesungguhkan para pemain, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila Kedah tewas lagi di tangan pasukan Red Giant ini. Nampaknya dendam kesumat yang terpahat sejak permulaan liga yang lalu masih gagal di balas. Nantikanlah saatnya Gergasi Merah!!

Kejutan kedua, adalah kejutan dalam perhubungan. Aku dikejutkan dengan satu perkara yang pada awalnya sukar untuk aku percaya. Satu perkara yang semoleknya diberitahu kepada aku pada awal-awal lagi, sebelum aku mula berperasaan terhadap Dia. Tetapi mengapa sekarang baru aku diberitahu? Oh sungguh aku terkejut. Tetapi kejutan ini gagal untuk melupuskan perasaan aku padanya. Aku terima dan cuma memahami kedudukan Dia. Aku akan terus kekal dengan diriku sebelum ini. Takkan sedikitpun aku berganjak!

Adakah akan ada lagi kejutan? Nampaknya kejutan yang aku alami bulan ini adalah kejutan yang sedikit sebanyak menggoncang hati aku, menguis pintu kekecewaan dan menerbitkan rasa marah dan sedih. Aku sedang nantikan kejutan yang akan menggembirakan aku. Bilakah akan aku dipertemukan dengan kejutan itu? Tunggulah...

Nik Mohd Syarafan B Nik Kamaruzaman

Monday, May 11, 2009

Akan Ku Tunggu...

Assalamualaikum wbt
Salam Sejahtera

Pada mulanya aku hanya menyukai Dia. Kemudian aku mula mendekatkan diri dengannya. Aku mula menghubunginya. Lama-kelamaan perasaan suka ini tidak dapat lagi ku pendam. 1 April telah ku katakan padanya. Bahawa diri ini amat menyukainya. Adakah punya tempat di mahkota dirinya? Reaksinya ringkas, jadilah kita kawan dahulu!

Sedari hari itu, kurasakan diriku lebih dekat dengannya. Setiap hari pasti berhubung. Malah telah mula keluar menonton wayang bersama. Segalanya nampak seperti berjalan dengan lancar. Dia melayaniku dengan penuh mesra, tak lekang dengan senyuman dan lembut berbahasa.

40 hari berselang, ku rasakan satu tempoh yang lama. Ku masih lagi dianggap kawan olehnya. Tetapi aku yang pada mulanya menyukainya sudah tidak lagi mempunyai rasa suka itu. Rasa suka yang wujud pada mulanya lesap dengan tiba-tiba. Perasaan ku kini telah bertukar kepada "sayang" pula. Ya! Aku dah mula menyayanginya. Tetapi aku masih tertanya-tanya adakah diriku dan dirinya mampu menjalin hubungan intim ini!

Semalam, ku bawa dirinya makan malam ala-romantik di sebuah hotel terkemuka. Bukan ingin menunjukkan kuasa wang atau berlagak, tetapi ingin menjadi simbol bahawa dirinya adalah paling istimewa. Wajahnya nyata terkejut dengan kejutan itu. Tak terlintas difikirannya yang aku akan membawanya ke tempat ekslusif itu hanya untuk menikmati makan malam! Selesai menjamah makanan yang istimewa itu, ku bawanya ke Dataran Putra, Putrajaya.

Suasana disitu amat romantis. Sesuai sekali untuk ku sekali lagi nyatakan perasaaanku padanya. Dengan debaran dan gemuruh ku nyatakan juga. Yang aku kini tidak lagi menyukainya, tetapi aku kini sudah mula menyayanginya. Ku mengharapkan kepastian darinya! Adakah ada ruang untuk diri ini menjadi 'abang sayang' untuknya.

Namun aku digesa untuk menunggu. Katanya haruslah terus berkawan untuk mengenal hati budi. Bukanlah aku ini ingin memaksa, tetapi aku takut. Takut perasaan baruku ini akan terus kembang mekar namun akhirnya aku kecundang. Aku telah rasa bagaimana sakitnya apabila kecundang! Aku serik! Aku tak mahu lagi!

Tetapi aku hormat pendirianmu. Bukanlah mudah untuk kita memutuskan perkara yang berkaitan dengan hati dan perasaan. Cuma aku ini lelaki yang dalam ketakutan di dalam perhubungan. Aku takut aku akan kencundang lagi!

Baiklah, aku akan terus menunggu. bukan saja menunggu, tetapi setia menunggu. Sampailah kau memutuskannya. Ku mengharapkan kata putih darimu. Bukanlah keputusan hitam memekat yang akan sekali lagi mengecewakanku!

Akan Ku Tunggu....

Nik Mohd Syarafan Bin Nik Kamaruzaman

Friday, May 1, 2009

Dimanakah Dia?

Dimanakah Dia?

Sudah lama ku mencari si dia. Di saat orang lain sudahpun punyai si dia, aku masih keseorangan. Bukanlah satu kewajipan untuk memiliki si dia, tetapi diriku amat memerlukan seseorang. Seseorang untuk aku berkongsi kisah sedihku, rasa gembiraku, pendapat fikiranku, dan juga tidak keterlaluan untuk aku jadikannya sebagai teman hidupku.

Bukan aku ini seorang yang cerewet, bukanlah aku hanya memilih yang terbaik buat diriku. Tetapi aku ini punyai citarasa. Bukanlah terlalu tinggi citarasaku, cukuplah sekadar dia lebih baik dariku. Baik dari segi budi pekerti, tutur cakapnya serta pegangan agamanya. Barulah dia boleh menjadi seorang teman yang baik. Bukanlah teman yang sama-sama hanyut ke ke jalan kiri, tetapi teman yang sentiasa membetulkanku bila aku hanyut ke jalan kiri.

Sesungguhnya diri ini sunyi. Bukan saja sunyi, malah sepi dan kontang. Walaupun ramai rakan-rakan disekeliling, tetapi jika Dia hadir dalam hidupku, sejuta rakan ku tidak mampu menyamai di Dia. Hanya Dia lah yang mampu membuatku berdebar, mampu buatku dengar nasihatnya, buatku fikir keburukan diriku dan buatku gembira dan tersenyum sendirian. Rakan-rakan bukanlah tidak penting, tetapi kepentingan rakan-rakan tidak menyamai kesenangan apabila berada bersama si Dia. Ahhh.. kadang-kadang, rakan-rakan sendiri pun melupai kita jika hendak bersama si Dia! Kan si Dia itu punyai kuasa yang tersendiri!

Di ketika rakan-rakan sudahpun memiliki si Dia. Aku masih tercari-cari dimanakah si Dia. Adakah berada di sekelilingku tetapi aku tak sedari kehadirannya? Hanya yang Maha Esa sahaja yang tahu jawapannya.

Kini.. aku sudahpun mengenali seseorang. Seseorang yang mampu dijadikan si Dia. Lembut, peramah, mudah menguntum senyum, bersuara lembut dan yang paling aku berkenan, ada pegangan agama. Tidak mudah di hari ini untuk kita melihat ada anak remaja muda zaman sekarang yang menjaga solatnya! Itulah yang buat aku mula menyukainya. Cantik? Hmm.. Cantik jugalah, tetapi masih ada lagi yang lebih cantik darinya, ada lagi yang lebih gebu darinya.. tetapi itu bukan lagi yang aku pandang, semua itu bagiku tidak penting lagi! Cukuplah bila manis dipandang apabila memberi senyuman dan sempurna panca inderanya.

Adakah yang ku maksudkan itu akan menjadi si Dia untuk diriku? Berharaplah aku pada Tuan Punya Dunia agar jadikannya sebagai si Dia dalam hidupku. Aku sedia memberikan apa sahaja yang mampu. Dengan IzinNya takkan aku sia-siakan hidupnya. Itulah janjiku pada diri sendiri!

Realitinya, aku masih mencari dimanakah si Dia. Ya Rabbi, temukanlah aku dengan si Dia. Sesungguhnya hambamu ini amat memerlukannya... Amin!

Nik Mohd Syarafan Bin Nik Kamaruzaman

Saturday, April 25, 2009

26 April 1986


Assalamualaikum wbt
Selamat Sejahtera

23 tahun yang lalu, lebih kurang jam 1 pagi, 26 April 1986 di Pusat Rawatan Islam, Jalan Ipoh Kuala Lumpur, itulah tika dan saatnya seorang bayi ditakdirkan Allah untuk tampil ke bumi ini. Pada masa itulah pasangan Nik Kamaruzaman dan Bahariah Mydin mendapat putera sulung mereka.

15 hari berselang, bayi itu diterbangkan dari Kuala Lumpur ke Alor Star, Kedah. Setibanya di Alor Star, terus dibawa ke rumah neneknya di Pendang. Maka tinggallah bayi itu bersama nenek, datuk dan ibu saudaranya di saat itu sehingga berumur 6 tahun. Apabila sudah tiba untuk dihantar ke zaman persekolahan, ibu dan bapa bayi itu mengambil keputusan untuk mengambil anak ini daripada tinggal bersama nenek dan datuknya di Pendang, Kedah dan berpindah ke Kota Bharu, Kelantan. Disitulah anak ini mendapat persekolahan awalnya di Sek. Ren. Keb. Sultan Ismail, Kuala Krai. 'Jodoh' anak itu di sekolah itu tidaklah lama, apabila semasa berumur 9 tahun, ibu dan bapa anak ini berhasrat untuk berpindah tinggal di kota metropolitan, Kuala Lumpur.

Persekolahan Darjah 3 diteruskan di Sek. Keb. Taman Maluri, Kg. Pandan Kuala Lumpur. Disekolah inilah anak ini mengenal sukan bolasepak yang amat diminatinya sehingga sekarang. Pada waktu itu, anak ini amat sekali meminati pemain bolasepak Selangor, Azman Adnan. Masakan tidak, pemain itu pada tahun itu amat disegani. Kehidupan anak ini gembira dan bahagia seperti kanak-kanak lain.

Namun kebahagiaan itu tidak berpanjangan. Semasa berumur 11 tahun di sekitar tahun 1997 kebahagiaan keluarga anak ini diragut. Ibu dan Bapa anak ini sudah lagi tidak sehaluan. Mereka memilih jalan untuk berpisah. Dek kerana kesedihan dan kekecewaan, ibu anak ini membuat keputusan untuk kembali berpindah ke Alor Star, Kedah untuk membawa anak-anaknya tinggal bersama di tempat asalnya, Pendang, Kedah. Maka anak ini kembali ke tempat dimana beliau dibesarkan dahulu. Persekolahan rendah yang berbaki 1 tahun di darjah enam dihabiskan di Sek. Keb. Pendang, Kedah.

Apabila menjangkau umur 13 tahun, anak ini meneruskan alam persekolahan menengah di Sek. Men. Keb. Syed Mohd Al-Bukhary, Alor Star Kedah. Disinilah alam remaja anak ini bermula. Dengan hidup tanpa Bapa di sisi, pada mulanya anak ini agak sukar. Hubungan anak ini dengan bapanya bolehlah dikatakan agak rapat. Almaklumlah putera sulung!. Namun lama-kelamaan anak ini mampu membawa diri. Beliau sedar hidup ini tidak boleh terlalu bergantung kepada orang lain, kita haruslah berusaha untuk hidup. Di alam remaja dimana anak-anak muda banyak yang rosak, ada yang menjadi mat rempit, ada yang menagih dadah, ada yang meneguk arak dan ada juga yang mengamalkan seks bebas, alhamdulillah anak remaja ini dilindungi Allah daripada dugaan itu. Walaupun hidupnya tanpa perhatian bapa dan ibu yang terpaksa bekerja mencari rezki, namun anak remaja ini mampu kekal sebagai remaja yang bebas daripada gejala sosial.

Selepas tamat alam persekolahan, dengan berbekalkan keputusan SPM yang 'cukup makan', beliau menyambung pelajarannya. Beliau mengambil kursus kejuruteraan sistem komputer di Kolej Prime, Alor Star dan Kolej Teknologi & Profesional Indera Kayangan, Perlis. Sekitar tahun 2006, anak remaja ini berjaya menamatkan pelajarannya. Tidak lama selepas itu, bapa saudara anak remaja ini yang bekerja di KLIA, Sepang memaklumkan ada kerja kosong di KLIA. Tanpa berfikir panjang, beliau terus ke Sepang, KLIA untuk menghadiri temuduga, Alhamdulillah! Beliau berjaya mendapat kerja. Inilah kerja pertamanya! Dalam kegembiraan beliau, terdetik juga kebimbangan untuk meninggalkan ibu dan dua adik-adik yang masih bersekolah di Alor Star. Siapakah yang akan menjaga mereka?

Kebimbangan itu ditepis, bukanlah kerana mementingkan diri, tetapi kerana perasaan ingin berdikari dan ingin meringankan beban ibu yang seorang diri berkerja menanggung adik-adik yang masih bersekolah. Maka anak remaja ini hadirlah ke Sepang sebagai anak kampung dari Kedah untuk mencari rezeki. Untuk pengetahuan, anak remaja ini masih lagi bertugas di KLIA sehingga saat ini dan beliau akan terus berkhidmat untuk mencari rezeki. Pada masa ini beliau mampu untuk merasa sedikit lega kerana adik-adiknya sudahpun besar dan mampu berfikir sendiri. Harapan beliau agar adik-adiknya juga mampu untuk berfikiran seperti beliau, "walaupun tanpa perhatian ibu dan bapa, janganlah kita merosakkan diri".

Siapakah bayi, anak dan remaja di atas? Inilah sebenarnya kisah diri saya. Sesungguhnya amatlah sukar untuk mengharungi kehidupan ini. Mungkin anda masih lagi tidak merasakannya, namun saya sudahpun merasakan sedikit 'kelumit' kehidupan ini. Panjatkanlah syukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan, dan janganlah mengeluh di setiap dugaan dan ujian dariNya.

Selamat Hari Lahir buat diriku!

Nik Mohd Syarafan Bin Nik Kamaruzaman.

Pembuka Kata


Assalamualaikum wbt
Salam Sejahtera

Dunia maya internet sekarang ini makin dipenuhi dengan penulis blog. Bukan sahaja pelajar, malah ahli politik, ahli sukan, ahli perniagaan dan berbagai ahli lagi semakin galak mempunyai laman blog yang tersendiri (kecuali ahli kubur sahaja tiada blog!). Untuk itu, saya juga menyahut perubahan ini dengan turut mencipta blog yang tersendiri. Maka lahirlah blog yang serba sederhana ini...

Kepada rakan-rakan ataupun sesiapa sahaja yang menziarahi blog ini, haraplah dapat memberi komen yang membina.

Terima Kasih.



Nik Mohd Syarafan Bin Nik Kamaruzaman (Mr. JaY)